May 12, 09 8:10pm
Menteri kesihatan memberi amaran kepada rakyat akan kemungkinan "gelombang kedua" jangkitan wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi susulan penularannya ke Thailand hari ini.
Datuk Seri Liow Tiong juga mengakui kerajaan Malaysia semakin tertekan untuk mencegah virus itu daripada merebak ke negara ini, lapor Bernama.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 4,379 kes jangkitan disahkan berlaku di seluruh dunia dengan keadaan paling teruk berlaku di Mexico.
"Kita semakin tertekan untuk memastikan wabak ini tidak menular ke negara kita.
"Setakat ini kita telah berjaya mengawalnya tapi kita tak boleh mengambil ringan perkara ini dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapinya," Liow dilapor berkata selepas merasmikan Hari Jururawat Sedunia di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, pemantauan influenza dalam tempoh jangka panjang turut dipergiatkan dan ia akan menjadi cabaran kepada kementerian untuk memastikan tiada jangkitan penyakit itu.
Beliau berkata, orang ramai perlu memberi tumpuan kepada kebersihan diri dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika mereka mengalami apa-apa jua simptom penyakit berkenaan.
Kementerian Kesihatan telah menggerakkan Pelan Persediaan Menghadapi Kemungkinan Wabak Influenza pada 30 April lalu.
Ketua pengarah kesihatan berkata sehingga jam 12 tengah malam tadi, bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) kementerian berkenaan menerima tiga notifikasi kes yang dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seremban bagi tujuan siasatan serta pemerhatian.
"Kesemua kes telah disahkan negatif terhadap influenza A (H1N1), sehingga masa ini tiada kes influenza A (H1N1) dikesan di negara kita," Tan Sri Dr Ismail Merican dipetik berkata hari ini.
Menurut agensi berita itu lagi, 6,440 individu disaring di semua pintu masuk negara dan setakat ini tiada kes dirujuk ke hospital.
Tambahnya, bilik CPRC menerima sejumlah 44 panggilan dan dua e-mel daripada orang ramai berhubung nasihat perjalanan ke luar negara, rawatan dan vaksin serta saringan.
"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) kerana kementerian sentiasa meningkatkan pemantauan dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan penduduk Malaysia," katanya.
Beliau juga berkata, tiada risiko untuk mendapat jangkitan influenza A (H1N1) sekiranya daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul.
No comments:
Post a Comment