Oleh Ahmad Naim Tahir
naim@bharian.com.my
Pusat ilmuwan Islam di Sepanyol: Dulunya Masjid Agung kini dikenali Lez Mezquita sudah berubah sebagai bangunan berelemenkan Kristian
CORDOBA, satu daripada lapan negeri dalam Wilayah Andalusia di selatan Sepanyol atau dirujuk sebagai al-Andalus ketika di bawah penguasaan Islam yang mengembangkan pengaruhnya ke Eropah di bawah pimpinan Panglima Tariq Ibnu Ziyad.
Bagi umat Islam, pasti berasa sedih apabila melihat bekas masjid yang berubah fungsi menjadi gereja selepas wilayah itu jatuh ke tangan Kristian pimpinan Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabelle.
Monumen yang pastinya pilu dilihat umat Islam ialah Le Mezquita, bekas masjid agung yang tersergam indah di tebing Sungai Guadalquiver yang merentasi bandarnya, tetapi kini berubah dengan elemen Kristian padanya.
Masjid berkenaan dibina pada zaman Khalifah Abdul Rahman II dan diteruskan oleh anak cucu baginda selama hampir dua abad sehingga siap seperti sekarang, indah dengan struktur dan seni bina hasil inspirasi arkitek Islam pada zaman itu.
Di dalamnya, ada puluhan atau ratusan tiang bermotif pohon palma yang dicat warna tanah dan merah muda seperti barisan jemaah sedang bersiap untuk bersolat.
Kota lama Cordoba menyimpan sejarah keagungan Islam.
Cordoba menempatkan banyak tinggalan seni bina menarik yang dibina ketika ia menjadi ibu kota di bawah pemerintahan khalifah Islam yang memerintah hampir seluruh Semenanjung Iberia.
Ia pernah dijajah Empayar Rom pada 412 Masihi tetapi berkembang ketika di bawah pemerintahan Bani Umaiyah sehingga menjadi pusat keilmuan dan kesenian Islam sebelum dijajah kerajaan Kristian Aragon dan Castile pada abad ke-15.
Cordoba mencapai zaman kegemilangannya ketika pemerintahan Abdul Rahman III, menjadi kota terbesar dalam Empayar Islam dan Eropah sehingga mengalahkan Byzantium dan Baghdad, terutama dalam bidang sains, kebudayaan dan kesenian.
Ia menjadi pusat ilmu yang begitu pesat dan melahirkan ilmuwan terkemuka Islam seperti Ibn Rushd dan Imam Qurtubhi.
Taman Alcazar berlatar belakang bangunan silam.
Melangkah masuk ke kawasan Le Mezquita, terserlah kehebatan seni binanya dengan halaman luas menempatkan landskap amat menarik serta kolam memancutkan air segar yang menenangkan jiwa.
Mengunjungi Cordoba, memori boleh mengimbau lebih 2,000 tahun lalu ke zaman pemerintahan Rom melalui peninggalan seperti Jambatan Roman, selain rasa bangga membayangkan zaman keagungan Islam ketika itu.
Antara arkeologi tinggalan Islam paling berharga ialah bekas kota lama Medina Azahara, terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar yang dibina antara 936 Sebelum Masihi (SM) hingga 940 SM dan bertahan 80 tahun sebelum kejatuhan Kerajaan Umaiyah.
Turut menjadi tumpuan ialah Taman Alcazar yang memaparkan keindahan hortikultur Arab, manakala bagi yang gemar membeli belah, pelbagai barangan terutama produk kulit dan perak yang terkenal di Cordoba dijual pada harga amat berpatutan.
Banyak lagi produk pelancongan menarik menunggu di negeri yang indah ini, tetapi bagi umat Islam, melangkah meninggalkan Cordoba pasti diiringi emosi yang amat mendalam.
FAKTA: Cordoba
# Juga dipanggil Cordova atau Qurtubah
# Terletak di sebelah Sungai Guadalquivir
# Bandar raya kedua terbesar di dunia pada abad ke-10 selepas Byzantium
# Mempunyai lebih 320,000 penduduk.
No comments:
Post a Comment