Friday, June 26, 2009

Kematian Jacko gemparkan peminat


VIDEO yang dirakam stesen televisyen KNBC4 menunjukkan mayat Michael Jackson dibawa turun dari helikopter untuk dihantar ke rumah mayat di County Los Angeles untuk bedah siasat, semalam.

Berita mengejutkan turut lonjak jualan album

LOS ANGELES: Peminat Michael Jackson di seluruh dunia menerima berita kematiannya dengan penuh kesedihan, namun ramai yang enggan percaya ikon pop itu meninggal dunia secara mengejut awal pagi semalam.

Kematian Jackson di California mendorong badan penyiaran dari Sydney ke Seoul - yang menerima berita itu awal semalam - mengganggu program pagi, bagi mengumumkan berita yang tidak disangka itu.

Di Malaysia, berita berkenaan mula ke udara menerusi radio dan televisyen sejak awal pagi dan deejay radio memainkan lagunya sehari suntuk dan menerima panggilan pendengar yang merakamkan perasaan sedih mereka di atas pemergian 'Raja Pop' dunia itu yang mula menceburi bidang nyanyian dengan menyertai kumpulan adik-beradik, Jackson 5.

Selepas berita kematiannya mula diketahui di seluruh dunia, albumnya mencatatkan jualan yang meningkat begitu tinggi dan menduduki 15 tangga teratas bagi album paling laris dalam tempoh beberapa jam di pasaran Amazon.com Inc.

Album Thriller adalah album paling besar dalam kariernya dan mencatat jualan 50 juta keping cakera padat di seluruh dunia. Sony Music yang menerbitkan semua albumnya, berkata Michael Jackson menjual kira-kira 750 juta rekod di seluruh dunia dan mengeluarkan 13 album solo nombor satu.
PEMINAT Michael Jackson bersedih di luar Pusat Rawatan UCLA sebaik menerima berita kematian 'Raja Pop' itu , semalam.

Pengerusi dan Presiden Sony Music, Sir Howard Stringer, berkata "gayanya mengubah landskap muzik buat selama-lamanya".

Legenda Michael Jackson bukan saja dikenali oleh generasi lama dan seangkatan dengannya, malah anak muda zaman kini mengenalinya menerusi lagu seperti Beat It, Black and White dan Billie Jean serta gaya persembahannya yang tersendiri.

Beberapa pemimpin dunia yang turut memberi pandangan mereka selepas mendengar berita kematiannya termasuk Presiden Venezuela, Hugo Chavez, yang menyifatkannya sebagai 'berita amat mendukacitakan' walaupun pernah menyatakan media memberi perhatian keterlaluan kepadanya.

Bekas Presiden Korea Selatan, Kim Dae-jung, yang pernah menemui Jackson, berkata: "Kita kehilangan wira dunia."
ORANG ramai membanjiri pekarangan Pusat Rawatan UCLA di Los Angeles selepas berita kematian Michael Jackson tersebar, semalam.

Beberapa minit selepas ketibaan Jackson dengan ambulans di Pusat Perubatan UCLA di Los Angeles, orang ramai mula membanjiri pekarangan hospital berkenaan. Sebaik berita kematiannya disebarkan, peminatnya menangis manakala sebahagian lagi seolah-olah tidak percaya.

Di Times Square di New York, orang ramai meratap sebaik berita kematiannya disiarkan di skrin televisyen gergasi. � AP/Reuters

No comments: