Monday, January 26, 2009
ZIONIS KEJAM
KHADIJA Radi sedih apabila mendapati rumahnya di al-Zeitoun, Gaza ranap dibedil Israel sebaik beliau bersama keluarganya pulang ke kampung halaman mereka, semalam.
Beratus-ratus mangsa kezaliman Israel terperangkap bawah runtuhan
SEMENANJUNG GAZA: Anggota penyelamat, yang memulakan operasi mencari semalam menjangka menemui beratus-ratus lagi mayat mangsa kekejaman rejim Zionis di bawah runtuhan bangunan, ketika tentera Israel mula berundur selepas 22 hari mengganas.
Pasukan penyelamat dan kaum keluarga memulakan gerakan mencari saudara mara yang hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan selepas Israel mengumumkan gencatan senjata awal pagi kelmarin.
Gencatan senjata rapuh itu dan pengunduran pertama askar Israel daripada bumi Gaza membolehkan mereka melipatgandakan gerakan mencari. Setakat ini lebih 1,300 orang terkorban termasuk kanak-kanak dalam pertempuran berkenaan manakala Israel hanya kehilangan 13 nyawa, termasuk tiga orang awam.
Zayed Hadar, seperti penduduk lain di Jabaliya, pinggir Bandaraya Gaza, yang dihalang oleh tentera darat Israel daripada menghampiri rumahnya selama dua minggu, kelmarin berpeluang menggeledah rumah berkenaan dengan bantuan 10 anaknya. Bangunan tiga tingkat itu musnah sama sekali dalam serangan Israel.
"Kami menarik keluar anak saudara saya, tetapi saya tidak tahu berapa banyak lagi mayat yang masih tertimbus," kata Hadar, ketika beberapa kereta kebal Israel masih lagi kelihatan dari jauh.
Bukti kemusnahan berada di merata tempat, di kawasan ladang, tiang elektrik yang patah tergantung di udara, kesan kereta terbakar terbiar di jalan raya dan air pembetungan mengalir daripada paip pecah. Bau mayat manusia dan bangkai haiwan yang reput menusuk hidung di kawasan berkenaan. Sebuah masjid runtuh, yang tinggal hanya menara berdiri tegak di celah kesan runtuhan berdebu.
Anggota polis Hamas juga muncul buat pertama kali sejak pertempuran berlaku dengan berpakaian seragam biru untuk mengawal lalu lintas dan mengelakkan barangan daripada dicuri.
Di kawasan perladangan Atatra di timur laut Semenanjung Gaza, medan pertempuran di antara askar Israel dan pejuang Palestin, anggota penyelamat memakai penutup muka bagi menghalang bau busuk lima mayat di sebuah rumah yang ranap, termasuk seorang wanita berpakaian jubah panjang biru. Mereka menemui kaki seorang budak.
"Kami tidak tahu sama ada anggota lain yang turut ditemui kepunyaan manusia atau haiwan, amat sedih sekali. Ya Tuhan, bukankah kita ini manusia," kata seorang anggota penyelamat. "Kami perlu pasukan pakar, kami hanya menggali dengan tangan," katanya
Khadija Radi, 83, hanya berdaya melihat ketika cucunya mengutip barangan milik mereka di rumah yang sudah hancur. Dia duduk di atas timbunan runtuhan sambil memegang tasbih dan tongkat di sebelahnya.
"Hanya ini barangan yang tinggal," katanya, menunjuk kepada bantal dan sepasang selipar. Anak perempuannya, Sadia mengangkat tilam yang penuh dengan debu dan meletakkannya di atas kereta keldai.
Menurut pegawai perbandaran Gaza, kiraan pertama mereka mendapati kira-kira 20,000 bangunan perumahan dan kerajaan mengalami kerosakan teruk dan 4,000 lagi musnah sama sekali. Kira-kira 50 daripada 220 sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), klinik dan gudang turut musnah dalam serangan itu. � AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment