Wednesday, June 9, 2010

DEKLARASI TAMAN ESPLANADE - HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA





Deklarasi Sempena Hari Alam Sekitar

Deklarasi Taman Esplanade Temerloh

Bersempena tarikh 5 Jun 2010 iaitu sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia. Deklarasi Taman Esplaned Temerloh menegaskan beberapa ketetapan bagi semua pihak khususnya pihak kerajaan supaya mengambil tindakan konkrit dan berfokus bagi membendung kemusnahan alam sekitar yang semakin hari semakin parah khasnya di negeri Pahang. Justeru Deklarasi ini menggesa Kerajaan Negeri Pahang supaya:

1. MENGEKALKAN DAN MEMULIHARA khazanah warisan negara di Gunung Senyum dan kawasan sekitarnya yang berusia 240 juta tahun sebagai destinasi pelancongan sekali gus sebagai peninggalan berharga untuk generasi akan datang. Cadangan pembangunan kilang simen di Gunung Jebak Puyuh yang bersebelahan dengan Gunung Senyum mestilah DIBATALKAN dan sebarang proses pembinaan yang berkaitan dengannya perlu dihentikan dengan SEGERA.

Projek kilang simen tersebut jika diteruskan bukan sahaja akan menjejaskan keaslian Gunung Senyum malah akan memberikan kesan negatif kepada alam sekitar dan mengancam kehidupan dan keselamatan lebih 300,000 penduduk di tanah rancangan FELDA dan kampung-kampung tradisional di sekitarnya.

2. MERENCANAKAN DAN MENGAMBIL tindakan proaktif dan serius bagi memastikan bekalan dan kualiti air di sepanjang lembangan Sungai Pahang tidak terjejas malah dapat dipertingkatkan. Kerajaan tidak seharusnya sekadar berpuas hati dengan kualiti air Sungai Pahang yang dikategorikan pada Kelas Dua tetapi wajar membendung sebarang bentuk ancaman yang akan menjejaskan kualiti air Sungai Pahang.
Sungai Pahang merupakan warisan sejarah yang perlu sentiasa dipelihara bukan sahaja untuk bekalan airnya malah sebagai prospek produk pelancongan dan perikanan. Kemerosotan bekalan ikan tilapia merah daripada industri penternakan ikan sangkar sejak kebelakangan ini dibimbangi merupakan petunjuk kepada penurunan kualiti air Sungai Pahang.

Aktiviti pembalakan, pembangunan, perladangan dan proses perbandaran tidak terkawal dikenal pasti sebagai di antara punca utama pencemaran air sungai. Kelemahan kawalan dan penguatkuasaan terhadap industri pertanian dan pelancongan di hulu lembangan Sungai Pahang iaitu di Cameron Highlands dikhuatiri menyumbang kepada pencemaran ekstrem semua aliran sungai di Cameron Highlands yang kemudiannya mengalir masuk ke Sungai Pahang.
Justeru itu, PAS Pahang menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan segera bagi:

1. Memastikan semua kawasan tadahan hujan terutamanya di hulu Sungai Jelai, Sungai Tembeling, Sungai Endau, Sungai Rompin, Sungai Kuantan, Sungai Semantan, Sungai Benus dan sungai-sungai utama yang lain dikawal selia dan dipulihara dengan ketat untuk memastikan keselamatan bekalan air lestari untuk generasi akan datang;

2. Memastikan semua kawasan hutan di sepanjang jalan raya baru FELDA Sungai Koyan ke Cameron Highlands tidak diteroka sebagai kawasan pembalakan dan perladangan untuk menjamin bekalan air ke Sungai Jelai tidak terjejas;

3. Memastikan sistem saliran dan pembuangan sisa pepejal dan cecair kumbahan hasil daripada industri pertanian tidak terkawal di Cameron Highlands dan juga daripada perkembangan perbandaran di sepanjang Sungai Pahang tidak mencemarkan sungai tersebut. Pihak kerajaan juga perlu memulakan langkah segera bagi memastikan semua bahan buangan industri dan kumbahan perbandaran di sepanjang Sungai Pahang melalui proses rawatan ketat sebelum dilepaskan keluar ke sungai Pahang. Tindakan ini akan mengelak tragedi Sungai Juru di Pulau Pinang dan Sungai Seget berulang di negeri Pahang.

3. MENINGKATKAN KEUPAYAAN PENGURUSAN HUTAN terutama dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terutamanya untuk mencegah pembalakan haram dan pembukaan haram kawasan hutan. Kegagalan pihak berkuasa membendung pencerobohan haram, sebagai contoh pencerobohan Hutan Simpan Kekal Ulu Luit yang berjumlah ribuan ekar yang telah digondolkan dan dijadikan projek perladangan haram telah mengakibatkan ribuan spesies flora dan fauna di kawasan tersebut musnah sama sekali.
PAS Pahang menggesa pihak kerajaan negeri memperkasa agensi penguatkuasaan berkaitan untuk:

1. Melaksanakan secara serius dan telus pemberian lesen pembalakan melalui kaedah tender terbuka yang terbukti berjaya meningkatkan hasil kerajaan negeri berlipat ganda seperti yang dibuktikan oleh kerajaan negeri Kedah yang dipimpin Pakatan rakyat mulai tahun 2008;

2. Menguatkuasakan peraturan mewajibkan semua kontraktor pembalakan memasang papan tanda projek yang mengandungi maklumat lesen pembalakan, keluasan kawasan pembalakan yang diluluskan, nombor lot kawasan pembalakan, nama kontraktor dan agensi penguat kuasa, di semua jalan masuk ke kawasan pembalakan;

3. Memastikan agensi penguatkuasaan berkaitan, antaranya Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar membuat pemantauan berterusan di seluruh negeri Pahang untuk memastikan dan menjamin tidak berlakunya pembalakan haram dan pencurian balak.

No comments: