Kalimah Allah dan Syariat Allah
http://episodeperjuangan.blogspot.com
1. Banyak pihak begitu marah dan tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah tinggi baru - baru ini yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka .
2. Pendirian saya sendiri jelas dan tidak pernah berubah sehingga saat ini , bahawa kalimah Allah swt adalah Lafzul Jalaalah yang merujuk kepada keesaan Allah swt. Firman Allah swt :
"Katakanlah [ Wahai Muhammad ] Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa . Allah tempat bergantung dan meminta segala sesuatu . [ Allah ] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya. (Surah al Ikhlas : 1-4)
3. Sesiapa pun [ muslim atau non muslim ] yang mahu menggunakan kalimah Allah mestilah menggunakannya dengan betul iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya . Haram dan kufur jika kita membenarkan perbuatan , tindakan atau kenyataan yang menduakan [ mensyirikkan ] Allah swt . Seperti membenarkan perkataan orang yang berkata : " Allah itu ada anak " dan seumpamanya . Kerana perkataan itu salah dan bertentangan dengan keEsaan Allah swt. walau siapa [ non muslim atau muslim ] yang berkata demikian .
4. Allah swt sendiri murka terhadap mereka yang menggunakan kalimah Allah secara salah [ dengan berkata Allah mempunyai anak ] , maka bagaimana mungkin kita boleh bersetuju dan redha jika ada yang menggunakan kalimah Allah secara salah seperti mensyirikkan Allah swt [ menganggap Allah ada anak dan isteri atau menduakan Allah dengan tuhan yang lain ] Firman Allah swt:"dan mereka berkata Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak . Sungguh kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar . Hampir saja langit pecah dan bumi terbelah dan gunung ganang runtuh kerana kenyataan [ ucapan ] itu . Kerana mereka menganggap Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak." (Surah Maryam : 88 - 91)
"Dapatkah [ bolehkah ] kamu benar - benar bersaksi bahawa ada tuhan - tuhan lain selain Allah ? Katakanlah : Aku tidak dapat bersaksi . Katakanlah : Sesungguhnya Dialah [ Allah ] Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri [ tidak boleh sokong/terima ] terhadap apa yang kamu sekutukan dengan Allah swt." (Surah Al An'am : 19)
5. Manakala pengguna kalimah Allah swt secara benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt itu sendiri yang telah mengisytiharkan zatNya tiada sekutu dan bandingan [ seperti yang termaktub di dalam surah al ikhlas ] , maka ia adalah pengguna yang bijak dan benar , malah dibenarkan sekalipun ia seorang non muslim . Inilah yang Allah swt sebut di dalam al Quran:
"dan jika engkau bertanya kepada mereka : " siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan ?" nescaya mereka menjawab Allah ! maka , kenapa mereka masih boleh berpaling dari kebenaran." (Surah al Ankabut : 61)
Sekitar pemafahaman dari ayat ini :
a ] Ayat ini secara jelas menunjukkan bagaimana Allah menegaskan bahawa sebahagian non muslim terutama ahli kitab mengakui bahawa Allah swt. adalah pencipta langit dan bumi [ begitulah jawapan jika ditanya kepada mereka .]
b ] Ayat ini juga bukanlah dalil mutlak untuk membenarkan golongan non muslim menggunakan kalimah Allah swt sewenang - wenangnya apatah lagi jika diguna secara salah . Sebaliknya ayat ini adalah penegasan Allah swt bahawa mereka mengakui Allah swt sebagai pencipta .
c ] Ia juga bukan dialog antara kuffar dengan Nabi saw. tetapi ia adalah ayat Allah untuk menjelaskan hakikat sanubari mereka , bahawa mereka tidak boleh menyembunyikan fakta ketuhanan Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki . Sebab itu ayat ini bermula dengan : [ Jika sekiranya kamu bertanya kepada mereka ..... ertinya ayat ini bersifat jika atau andainya .... ia bukan dialog sebenar ]
d ] Persoalan isu aqidah dalam ayat ini terhenti di atas perkataan terakhir dari ayat ini : " maka ... kenapalah mereka masih boleh berpaling dari kebenaran ? " ertinya : walau hati kecil mereka mengakui bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi , maka kenapa mereka masih berpaling dari kebenaran itu ? kenapa mereka masih mensyirikkan Allah swt ? kenapa mereka mengambil tuhan - tuhan yang lain selain daripada Allah swt ? kenapa mereka tidak menerima wahyu Allah swt yang melantik Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman ? kenapa mereka berpaling dari kebenaran ? kenapa ?
e ] persoalan yang dicetus pada akhir ayat 61 surah al Ankabut ini jelas menunjukkan Allah swt membenarkan jika mereka mahu berkata [ menggunakan kalimah ] Allah sebagai tuhan yang mencipta langit dan bumi , tetapi jika mereka mahu mensyirikkan Allah swt atau mengambil tuhan yang lain selain Allah swt , maka ia dimurkai oleh Allah swt .
6. Tidak hanya menggunakan kalimah Allah swt secara salah [ seperti menduakan Allah swt ] sahaja yang mesti ditolak , tetapi juga termasuklah perbuatan mempersenda dan mengabaikan perlaksanaan syariat Allah swt. juga mesti ditentang dan ditolak .
7. Isu kalimah Allah ini baru timbul sehari dua dalam negara kita , tetapi pengabaian terhadap perlaksanaan syariat Allah swt telah berlaku sejak dulu .
Hairannya , tiada pula orang nak marah . Malah mahkamah tinggi Malaysia pernah mengisytiharkan Malaysia bukan Negara Islam , tiada pula berlaku kebangkitan di kalangan ummat Islam untuk membantah keputusan tersebut . Kecuali sebahagian kecil ummat Islam yang konsisten berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt . termasuk PAS .
8. Terlalu banyak aktiviti dalam negara kita yang bertentangan dengan syariat Allah . Mengalungkan bunga ke tugu kebangsaan sebagai contoh , telah jelas ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan , tetapi kerajaan masih mengamalkannya saban tahun .
Tiada pula amukan dari PERKASA untuk membantah amalan itu . Sedang itu secara terang terangan menghina majlis fatwa dan menghina agama Allah . Apakah kerana ia dilakukan oleh orang yang mengaku muslim maka ia tidak diambil endah ?
9. Al Amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar sebagai asas sebuah pemerintahan Islam tidak diamalkan dengan penuh tanggungjawab dalam negara kita .
Terkadang seperti sengaja mereka mahu memperkecilkan ajaran Islam .
Mereka buat tempat maksiat seperti kelab - kelab malam yang bercambah lalu mereka melantik pencegah maksiat supaya membuat operasi sesekali dihujung hujung bulan .
10. Bukankah ini satu persendaan ? mereka buat masjid mereka juga buat kelab malam . Mereka buat musabaqah al Quran mereka buat juga pertandingan ratu cantik . Mereka buat universiti Islam , mereka juga buat akademi fantasia .
Mereka memberi sumbangan kepada fakir miskin , mereka juga melakukan rasuah dan membolot harta kekayaan negara.
Mereka bukan buat amar makruf Nahi Mungkar tetapi Amar Makruf Amar Mungkar. Ini satu persendaan kepada syariat Allah swt . Ini juga mesti ditentang dan ditolak .
No comments:
Post a Comment